MALAYSIA
Kes Zara Qairina: 'Saya beri khidmat percuma, tertuduh bukan anak VVIP - Ram Singh

Ram (kiri) dan Joan mewakili salah seorang tertuduh pada prosiding pendakwaan melibatkan lima remaja bawah umur di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu pada Rabu.
KOTA KINABALU: Peguam mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak mendedahkan bahawa pembelaan yang dilakukan adalah secara pro bono.
Ringkasan AI
- Peguam Datuk Ram Singh menjelaskan pembelaan terhadap salah seorang remaja dalam kes Zara Qairina Mahathir dilakukan secara pro bono, menolak dakwaan bahawa tertuduh berasal daripada keluarga VVIP.
- Mahkamah Kanak-Kanak mengenakan larangan penyiaran identiti lima remaja tertuduh mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang melindungi maklumat peribadi kanak-kanak sepanjang siasatan dan perbicaraan.
- Peguam Hamid Ismail menegaskan bahawa larangan tersebut adalah berdasarkan undang-undang dan bukan campur tangan pihak tertentu, serta menjelaskan bahawa inkues tidak tertakluk kepada gag order dan boleh dilaporkan.
“Saya sedih dan sebagai bapa, memandangkan mereka masih kanak-kanak. Sebab itu saya lakukan secara pro bono bersama peguam lain.
“Saya bersama peguam lain wakili mereka dan mereka bukan terdiri daripada anak VVIP,” katanya ketika ditemui sebelum prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini pada Rabu.
Pasukan Ram turut disertai dua lagi peguam iaitu Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Dalam prosiding tersebut, mahkamah memerintahkan larangan (gag order) melibatkan identiti lima remaja yang dituduh.
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina berkata, pihaknya tidak dibenarkan bercakap mengenai prosiding kerana wujudnya gag order.
“Kami memohon maaf, kalau perkara lain kami boleh jawab tetapi untuk prosiding hari ini kami tidak dibenarkan kerana adanya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan juga gag order.
“Gag order hanya untuk kes ini sahaja, tetapi inkues tidak ada dan boleh dibuat liputan,” katanya yang hadir sebagai pemerhati dalam kes tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kepada orang ramai mengenai proses perundangan melibatkan kanak-kanak yang tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001.
“Bagi kanak-kanak, banyak perkara yang tidak boleh didedahkan kerana wujudnya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang menghalang penyiaran mengenai kanak-kanak, sama ada melalui tempat tinggalnya, nama atau ibu bapanya.
“Secara ringkas, melalui seksyen ini identiti kanak-kanak adalah dirahsiakan, tidak boleh didedahkan sama ada dalam tempoh perbicaraan atau semasa siasatan.
“Bukannya sebab VVIP atau disuruh sesiapa. Tidak, itu adalah undang-undang Malaysia. Jadi jangan salah sangka ia permainan ‘orang atas’. Tidak,” tegasnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami