MALAYSIA
Kes Zara Qairina: UMNO sokong keputusan AGC untuk inkues penuh dijalankan - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Menara Dato Onn. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk inkues penuh bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir, termasuk jika terdapat unsur jenayah atau sebaliknya, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata pihaknya berharap proses inkues itu akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang, bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Allahyarham Zara Qairina.
Asyraf Wajdi pendirian itu adalah antara beberapa keputusan dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"UMNO juga amat dukacita dan cukup terhiris dengan kematian Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai akibat buli. Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah, bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan," katanya.AGC dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan telah memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13, selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM.
Menurut AGC, inkues itu selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan tujuan utama untuk menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar dalam sidang media pula dilaporkan berkata siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu itu, yang sebelum ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut kini akan menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.
Beliau berkata hal itu merupakan antara dua dapatan pasukan khas jabatan berkenaan membabitkan sembilan pegawai dan anggota yang dihantar ke Sabah pada 11 Ogos lepas, untuk menyiasat kes tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami