MALAYSIA
Kes Zayn Rayyan: Ismanira akui tidak cari anak di kawasan kebun tempat mayat ditemui

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30 (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan hari ini membuat pengakuan di Mahkamah Sesyen bahawa dia tidak mencari anaknya di kawasan kebun berhampiran aliran sungai bersebelahan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, lokasi di mana mayat kanak-kanak itu ditemui pada 6 Disember 2023.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak mencari anaknya di kawasan kebun berdekatan Blok R, lokasi Zayn ditemui mati, walaupun sudah menetap di situ selama tiga tahun.
- Ismanira dan suami didakwa kerana didakwa mengabaikan Zayn mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, namun suaminya telah dibebaskan manakala Ismanira diperintah membela diri atas kes prima facie.
- Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemui di anak sungai keesokan hari, kira-kira 200 meter dari rumah mereka, di luar kawasan pencarian ibu.
Selepas mencari di pangsapuri, dia mencari Zayn di sekolah, restoran makanan segera, kedai runcit, stesen minyak, pejabat tempat beliau bekerja serta premis-premis berhampiran yang dianggarkan berjarak sekitar 500 meter dari kediamannya.
“Tempat-tempat ini adalah lokasi yang saya pernah bawa Zayn, terutama apabila dia ikut saya ke tempat kerja. Dia memang biasa dengan kawasan tersebut,” katanya.
Ismanira juga bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa jarak lokasi yang dicarinya itu adalah lebih jauh berbanding kawasan kebun yang terletak berhampiran Blok R dimana lokasi terakhir Zayn ditemukan.
Raja Zaizul: Setuju jika saya katakan, beliau (Zayn) tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang dinyatakan ini seorang diri?
Ismanira: Ya, setuju.
Raja Zaizul: Zayn tahu jalan ke tempat-tempat ini?
Ismanira: Tahu, saya pernah bawa dia naik kereta dan motosikal.
Raja Zaizul: Pernah jalan kaki ke tempat ini?
Ismanira: Pernah, sekali dua. Saya tak ingat bila, tapi kami pernah jalan kaki ke pejabat saya.
Raja Zaizul: Boleh puan setuju dengan saya, jarak tempat-tempat ini lebih jauh daripada kebun di sebelah Blok R?
Ismanira: Ya, saya setuju.
Malah, Ismanira juga menyatakan bahawa dia dan suaminya tidak pernah tahu kewujudan kebun tersebut walaupun sudah menetap di pangsapuri tersebut kira-kira tiga tahun.
Sebelum ini, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa bersama-sama sebagai penjaga Zayn Rayyan, telah mengabaikan kanak-kanak itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, termasuk sehingga ke anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Zaim selepas mendapati tiada elemen pengabaian dibuktikan pihak pendakwaan. Bagaimanapun, Ismanira diperintah membela diri selepas wujudnya kes prima facie terhadapnya.
Untuk rekod, Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember sebelum mayatnya ditemukan malam keesokan hari, di anak sungai kira-kira 200 meter dari Blok R, Pangsapuri Idaman, lokasi yang tidak termasuk dalam kawasan pencarian ibunya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami