Skip to main content

Malaysia

FINAS sedia pertimbang dana drama bersiri khas buat artis veteran

Hans Isaac (kanan) menyantuni dua artis veteran, AR Badul (tengah) dan Norlia Ghani pada Program Tribute dan Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di FINAS, Hulu Kelang, malam tadi. - Gambar Bernama
Hans Isaac (kanan) menyantuni dua artis veteran, AR Badul (tengah) dan Norlia Ghani pada Program Tribute dan Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di FINAS, Hulu Kelang, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersedia menimbang cadangan mewujudkan dana bagi penerbitan drama bersiri khusus untuk artis veteran, menerusi penyesuaian inisiatif sedia ada, iaitu Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR).

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, beliau akan membawa cadangan ke peringkat jawatankuasa perbadanan FINAS dan Kementerian Komunikasi untuk perbincangan lanjut serta penyelarasan dokumentasi.

"Cadangan yang dikemukakan ini sememangnya suatu inisiatif yang sangat bernas dan wajar diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas Program Tribute dan Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di FINAS, Hulu Kelang, di sini, malam tadi. 

Advertisement

Beliau mengulas cadangan  pelakon veteran popular, AR Badul yang menyarankan agar dana khas penerbitan drama bersiri berdurasi panjang diwujudkan bagi membolehkan golongan artis veteran terus aktif berkarya secara bergilir-gilir.

Badul berkata, format drama bersiri mampu membuka ruang kepada 10 hingga 15 pelakon veteran untuk beraksi serentak dalam satu-satu projek, berbanding jumlah watak yang agak terhad sekiranya menerusi format telefilem konvensional.

Advertisement

Mengulas lanjut perkembangan inisiatif berkenaan, Hans memaklumkan, berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 10 projek telefilem berjaya disiapkan untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pembiayaan dana tersebut.

Sementara itu, Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkata, penggiat seni veteran masih mempunyai kudrat, jiwa yang kental serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.

"Kami amat menghargai sokongan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni ialah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan," katanya yang diundang sebagai ahli panel forum bersama-sama dengan pelakon veteran Norlia Ghani pada program tersebut.

Program itu diadakan sebagai sebahagian daripada kempen menjelang penganjuran FFM ke-35 yang dijadualkan berlangsung pada 21 Nov ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement