KUALA LUMPUR: Kesan sampingan atau alahan kepada penerima suntikan vaksin COVD-19  disifatkan sebagai kes terpencil dan kemungkinannya amat tipis untuk berlaku.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang maklumat bahawa individu yang divaksinasi berdepan kesan sampingan.

"Kalau kita kesan sampingan iaitu dalam sejuta mungkin ada tiga atau empat kes sahaja.

"Jadi ini kes amat terpencil. Walau bagaimanapun, kita telah sediakan tempat yang sesuai kalau ada reaksi kepada vaksin tersebut untuk dipantau sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit.

"Setakat ini saya tidak dengar lagi mereka yang maklum kepada saya ada kesan sampingan," katanya dalam  Sesi Libat Urus Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media Siri 4/2021: Perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berharap Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memberikan kelulusan bersyarat dalam masa terdekat kepada empat lagi syarikat pengeluar vaksin.

Jelasnya, vaksin berkenaan Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac); CanSinoBIO; AstraZeneca; serta Sputnik V masih dalam penilaian NPRA, setakat ini.

"NPRA masih dalam penilaian dan kita harapkan dalam masa tempoh terdekat mungkin kita bentang dan dapatkan kelulusan bersyarat.

"Kalau kelulusan bersyarat, kalau ada perubahan atau data-data terkini mungkin boleh hantar ke NPRA dan kita akan melihat kepada petunjuk-petunjuk baharu untuk kita guna pakai dalam tindakan kita untuk pastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin," katanya lagi.