Kesedaran pematuhan pemasangan peranti had laju meningkat - KP JPJ

Aedy (dua, kiri) turut menyertai Ops Khas JPJ di Jalan Klang - Banting, Telok Panglima Garang Kuala Langat, malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUALA LANGAT: Jumlah kenderaan perdagangan yang memasang peranti had kelajuan (SLD) meningkat kepada 20,000 sejak penguatkuasaan fasa pertama dilaksanakan bermula 1 Okt lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata statistik itu menunjukkan pengusaha kenderaan perdagangan semakin cakna terhadap pematuhan aspek keselamatan, khususnya selepas operasi penguatkuasaan dijalankan.
"Jumlah kenderaan yang tampil membuat pengesahan meningkat daripada 3,000 kepada 20,000 hanya dalam tempoh 10 hari pertama penguatkuasaan dijalankan," katanya pada sidang media sejurus Ops Khas JPJ Selangor di Stesen Penguatkuasa Banting berakhir lewat malam tadi.
Aedy Fadly berkata setakat ini pihaknya telah mengeluarkan notis untuk kenderaan yang tidak mempunyai SLD kepada 4,012 unit kenderaan, namun pengusaha yang tampil membuat pengesahan mencecah 20,000 kenderaan.Angka itu menunjukkan perkembangan positif terhadap pematuhan arahan berkenaan dalam memastikan tahap keselamatan jalan raya.
Peningkatan itu juga menunjukkan aspek hebahan dan advokasi berterusan JPJ selain operasi SLD yang digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara mencapai objektif yang disasarkan.
Bagaimanapun, tindakan kompaun dan siasatan lanjut akan diambil sekiranya pengusaha gagal mematuhi arahan itu, termasuk merujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tindakan susulan.
"Pemasangan dan fungsi sepenuhnya SLD diwajibkan kepada kenderaan perdagangan bagi tahun keluaran 2015 dan ke atas.
"Sekiranya gagal, kita akan keluarkan notis 114 untuk hadir semula dalam tempoh 10 hari bagi membuat pengesahan serta mengemukakan sijil berkenaan," katanya.
Terdahulu, Aedy Fadly diiringi Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan turun padang menyertai Ops Khas JPJ Selangor yang bermula pada 8 malam hingga 12 tengah malam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami