KANGAR: Keselamatan dan kesejahteraan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan, keprihatinan serta kerjasama semua lapisan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hubungan erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat, perlu diperkasakan melalui program sinergi bersama-sama masyarakat, yang mampu mendekatkan kedua-dua pihak untuk membina kepercayaan bersama.
“Keamanan yang kita nikmati pada hari ini ialah hasil usaha bersama. Tanpa sokongan masyarakat, segala usaha pihak berkuasa tidak akan mencapai tahap diharapkan,” katanya ketika berucap pada program sinergi PDRM bersama dengan masyarakat, di sini, malam tadi, sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-83 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Berangkat ke program itu Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Muhammad berkata, program sinergi seumpama itu menjadi platform mendekati komuniti, mendengar pandangan rakyat serta meningkatkan lagi kesedaran terhadap tanggungjawab bersama, dalam memelihara keamanan dan ketenteraman awam.
“Melalui pameran dan aktiviti yang disediakan, masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas bahawa PDRM mempunyai pelbagai cabang penugasan meliputi aspek pencegahan jenayah, keselamatan komuniti, penguatkuasaan undang-undang, kawalan ketenteraman awam, operasi khas serta khidmat bantuan kepada masyarakat.
“Pendekatan seperti ini amat penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat bahawa tugas PDRM bukan sekadar menangani jenayah, tetapi juga melibatkan usaha membina komuniti lebih selamat, prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA