KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai strategi kerajaan untuk menyokong keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi kepada Menteri Kewangan susulan kebenaran pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pelbagai skim pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik COVID-19.

Turut terkandung dalam sesi itu ialah soalan Ahli Parlimen Sik kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai langkah-langkah tangani perubahan iklim yang beri kesan kepada industri pertanian negara.

Tumpuan juga terarah kepada soalan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli mengenai aplikasi penghijauan Malaysia.

Beliau bertanyakan mengenai jumlah pengguna yang memuat turun aplikasi tersebut dan rekod penanaman dari kawasan luar bandar serta spesis bernilai ditanam sepanjang kempen dilaksanakan.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam pula meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menyatakan langkah menarik minat golongan muda berpelajaran tinggi terhadap sektor pertanian.

Seterusnya, Menteri Komunikasi dan Multimedia diminta menjawab persoalan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai sumber tenaga yang perlu oleh stesen pangkalan 5G dan usaha kerajaan menentukan harga dengan perkhidmatan telco selepas pelan 5G dilancarkan.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi beberapa kementerian.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.