Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim memberi jaminan keselamatan warga kampus khususnya para pelajar adalah keutamaan pengurusan universiti susulan kebakaran sebuah stor di kampus UIAM Petaling Jaya semalam.

Dalam responsnya berhubung kejadian kebakaran itu, Rais dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh universiti itu, berkata kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akan dijalankan segera.

"Ibu bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka kerana pihak universiti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan yakin bangunan berkenaan masih selamat untuk didiami," katanya.

Rais hari ini melawat tempat kejadian itu.

Menurut kenyataan universiti itu, kebakaran itu hanya melibatkan sebuah bilik stor yang terletak di aras satu asrama lelaki Mahallah Abu Bakar yang menempatkan tilam-tilam dan perabot lama yang tidak boleh digunakan lagi.

Insiden berkenaan tidak menjejaskan bilik penginapan pelajar, kecuali mereka yang tinggal di tingkat satu yang akan dipindahkan ke tingkat atas, kata kenyataan itu.

Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran itu.