MALAYSIA
Sultan Brunei lakukan lawatan negara ke Malaysia, hadiri rundingan pemimpin tahunan ke-26

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara mulai Isnin hingga Khamis, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara mulai Isnin hingga Khamis, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ringkasan AI
- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari Isnin hingga Khamis atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
- Lawatan itu termasuk Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) serta pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Mesyuarat ALC mencerminkan hubungan istimewa Malaysia-Brunei, dengan nilai dagangan mencecah RM3.02 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Menurut kementerian itu, Sultan Hassanal Bolkiah akan diberi sambutan negara di Istana Negara pada Selasa (26 Ogos), diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Satu majlis santapan negara bagi meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi Brunei akan dihoskan oleh Sultan Ibrahim," menurut kenyataan itu.
Sepanjang lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ALC ke-26 pada Rabu (27 Ogos).
ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menjadi wadah untuk kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menangani isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Menurut kementerian itu, lawatan serta mesyuarat tahunan berkenaan mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (US$1.77 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah US$690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah US$500 juta (RM2.18 bilion) dan import US$190 juta (RM840 juta).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami