KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar khususnya di kawasan tumpuan orang ramai sejak beberapa hari lalu, berikutan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, antara punca keadaan tersebut adalah peningkatan pergerakan orang ramai sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Advertisement
"Orang ramai mengambil kesempatan untuk keluar membeli-belah terutama di kawasan Bukit Bintang yang menjadi antara lokasi tumpuan utama warga kota dan pelancong," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, kesesakan lalu lintas juga berlaku berikutan Majlis Raja-Raja yang masih berlangsung di Kuala Lumpur dari 10 hingga hari ini.
“Selain itu, keadaan cuaca yang tidak menentu sama ada panas atau hujan turut menyebabkan peningkatan penggunaan kenderaan empat roda berbanding motosikal, sekali gus menambah jumlah kenderaan di jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zamzuri menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas serta menggunakan pengangkutan awam.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan tular hantaran dimuat naik di media sosial memaparkan kesesakan lalu lintas luar biasa di beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur dan kawasan bandar berhampiran.
Perkongsian seorang pengguna media sosial itu memaparkan peta trafik yang menunjukkan kebanyakan laluan utama di ibu negara berada pada tahap sesak dengan aliran trafik berwarna merah.
Berdasarkan paparan peta yang dikongsikan, kesesakan jelas dilihat di kebanyakan laluan dalam pusat bandar Kuala Lumpur termasuk rangkaian jalan utama yang menghubungkan kawasan perniagaan dan kediaman di ibu negara. - Sinar Harian