KUALA LUMPUR: Persediaan kerajaan dari segi kesiapsiagaan pasukan penyelamat, aset serta bantuan kebajikan termasuk kewangan bagi menghadapi bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) antara yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menerusi soalan kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Beliau juga ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang memberikan insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir.
Pada sesi sama, Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan usaha menyahkarbonkan sektor pengangkutan negara, termasuk bagaimana teknologi hidrogen dapat melengkapi penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam membangunkan sistem mobiliti rendah karbon yang mampan.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan pendirian muktamad kerajaan berhubung penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV) 1991 berbanding UPOV 1978 di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memperincikan usaha rentas kementerian bagi meningkatkan produktiviti ekonomi dan pekerja di seluruh negara.
Turut menarik perhatian ialah soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai pecahan pendatang asing yang direkodkan dan tidak direkodkan, tindakan menangani penganiayaan pekerja, penggunaan dokumen pekerjaan tidak sah serta kadar jenayah melibatkan warga asing.
Sementara itu, Datuk Ewon Benedick (PH-Penampang) meminta Menteri Perpaduan Negara menjelaskan bila Akta Keharmonian Nasional atau undang-undang baharu bagi menangani isu 3R (raja, kaum dan agama) akan dibentangkan di Parlimen, termasuk cabaran yang menyebabkan pembentangannya masih belum dilaksanakan.
Selesai sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat dijadualkan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa sebelum diikuti sesi penggulungan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa dijadualkan berlangsung hingga 26 Nov ini.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.
-- BERNAMA