Skip to main content

Malaysia

Kesihatan mental: Peningkatan kes bunuh diri beri peringatan kepentingan intervensi - Lee

41760508628_TBLEELAMTHYE.jpg
Menurut Lee Lam Thye, sebanyak 1,114 kes bunuh diri direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2024, berbanding 1,087 kes pada 2023, manakala dapatan NHMS 2023 menunjukkan hampir sejuta orang dewasa mengalami kemurungan, iaitu dua kali ganda berbanding prevalens yang direkodkan pada 2019. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes bunuh diri dan peningkatan dua kali ganda prevalens kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas seharusnya menjadi peringatan kepada negara supaya mengambil usaha intervensi kesihatan mental dengan lebih serius.

Penaung Befrienders KL, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebanyak 1,114 kes bunuh diri direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2024, berbanding 1,087 kes pada 2023, manakala dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan hampir sejuta orang dewasa mengalami kemurungan, iaitu dua kali ganda berbanding prevalens yang direkodkan pada 2019.

“Angka-angka ini seharusnya membuatkan kita merenung sejenak dan memikirkan apa yang berlaku di sekeliling. 

"Mungkin ada individu yang dikenali sedang berdepan kesukaran tetapi tidak pernah memberitahu sesiapa. Antara halangan terbesar masih lagi stigma,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) di sini pada Khamis.

Hari ini menandakan tahun ketiga tema WSPD bagi tempoh 2024-2026, iaitu “Mengubah Naratif Mengenai Bunuh Diri: Mulakan Perbualan.”

Lee berkata. stigma yang berleluasa masih menjadi halangan utama dalam usaha mencegah bunuh diri, dengan individu yang mengalami tekanan emosi sering memilih untuk memendam penderitaan dalam diam kerana bimbang dihakimi, dianggap lemah atau berdepan kesan sosial.

“Ada yang bimbang tentang apa yang mungkin difikirkan oleh keluarga, rakan atau rakan sekerja mereka. Ada juga yang mungkin tidak menyedari bahawa apa yang mereka alami merupakan sesuatu yang membolehkan mereka mendapatkan bantuan.

“Apabila berasa takut untuk bercakap, mereka kurang cenderung untuk mendapatkan bantuan. Sebab itulah kita perlu memahami isu bunuh diri dengan lebih baik. 

"Kita perlu berbincang mengenai kesakitan emosi tanpa menghakimi individu berkenaan atau cuba memberitahu mereka supaya ‘tabah’ atau ‘berfikiran positif’,” katanya.

Beliau berkata, bertanya seseorang secara langsung mengenai bunuh diri tidak akan mendorong mereka untuk melakukan tindakan itu, sebaliknya boleh menyediakan ruang yang selamat bagi individu yang sedang berdepan masalah untuk berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan.

Lee menyambut baik langkah menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri yang berkuat kuasa pada 10 Sept 2025 sebagai usaha positif, namun berkata, pelaburan yang lebih besar dalam perkhidmatan kesihatan mental awam diperlukan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memastikan akses kepada rawatan dapat diperoleh tepat pada masanya dan pada kos yang berpatutan.

“Perkhidmatan kesihatan mental di Malaysia telah berkembang, namun permintaan terus meningkat. 

"Kita memerlukan lebih ramai profesional kesihatan mental dan perkhidmatan yang lebih mudah diakses, khususnya di peringkat komuniti dan penjagaan kesihatan primer. Seseorang itu tidak seharusnya perlu menunggu sehingga berada dalam krisis yang serius sebelum boleh mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, kos juga kekal menjadi halangan yang signifikan, khususnya bagi rakyat Malaysia yang memerlukan rawatan kaunseling, psikologi atau psikiatri secara berkala di sektor swasta.

“Perkhidmatan kaunseling, psikologi dan psikiatri swasta boleh menelan kos yang tinggi dan ramai rakyat Malaysia sememangnya tidak mampu mendapatkan rawatan secara berkala. 

"Oleh itu, perkhidmatan kesihatan mental kerajaan perlu diberikan sumber yang mencukupi supaya orang ramai dapat menerima rawatan yang bersesuaian dan tepat pada masanya tanpa mengira keadaan kewangan mereka,” katanya.

Lee juga menyeru rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap orang di sekeliling mereka dan mengamalkan budaya mendengar secara aktif serta tanpa prejudis sebagai langkah awal ke arah mengurangkan rasa terasing.

“Jika anda sedang menghadapi masalah atau bimbang tentang seseorang yang rapat dengan anda, sila dapatkan bantuan. Untuk mendapatkan sokongan emosi secara percuma dan sulit, anda boleh menghubungi Befrienders KL di talian 03-76272929 (24 jam) bagi berbincang dalam ruang yang selamat. Terdapat juga Talian HEAL kendalian Kementerian Kesihatan di talian 15555 (8 pagi hingga 12 tengah malam),” katanya.

WSPD diperkenalkan pada 2003 oleh Persatuan Antarabangsa bagi Pencegahan Bunuh Diri (IASP) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Setiap tahun pada 10 Sept, ia menumpukan perhatian dunia terhadap pencegahan bunuh diri serta menyatukan komuniti, organisasi dan kerajaan atas kepercayaan bersama bahawa kejadian bunuh diri boleh dicegah.

-- BERNAMA

Image
Sumber: Astro AWANI

Must Watch Video

Advertisement