Keadaan kesihatan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dijumpai dalam keadaan terabai di Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lepas kini terkawal dan lebih baik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan mendapati remaja itu kurang nutrisi yang menyebabkannya terdedah kepada penyakit.

"Kita sedang tambah nutrisi dan pastikan dia bebas penyakit. Kita sedang merancang tindakan seterusnya dan pastikan kesihatannya pada peringkat terbaik sebelum dibenarkan keluar hospital dan membina ketahanan tubuhnya," katanya kepada pemberita selepas majlis "Dialog Sarapan Pagi" Bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan anjuran Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terbaharu Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi bersepadu di kawasan Flat Taman Semarak, Nilai selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan pada Sabtu lepas.

Remaja lelaki itu kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Polis sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar Muhammad Firdaus diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan.