KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mendapat reaksi meluas masyarakat antarabangsa dengan harapan tinggi terhadap hala tuju diplomasi dan dasar luar Malaysia di bawah kepimpinan personaliti politik terkenal itu.

Bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berpendapat kerajaan baharu perlu memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik dan memperbaiki imej Malaysia terlebih dahulu untuk mengembalikan kedudukan negara sebagai kuasa tengah (middle power) berpengaruh.

Veteran politik itu berkata Malaysia perlu menunjukkan demokrasi di negara ini masih subur selepas pilihan raya dan penubuhan kerajaan, selain memberi keyakinan bahawa hubungan ekonomi dengan Malaysia akan mendatangkan kesan positif dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan negara lain.

"Walaupun banyak perdebatan politik, tetapi itu menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan wujud kebebasan bersuara. Kita juga ada demokrasi berparlimen dan akan bersidang pada 19 Dis. Ini semua satu image building untuk negara.

"Kita juga menyuarakan kehendak untuk bina negara kita berasaskan kepada kedaulatan undang-undang (rule of law) iaitu mengikut undang-undang dan kebebasan badan kehakiman. Kita juga perlu perangi rasuah, kita mesti betulkan imej kita," katanya kepada Bernama.

Pandangan sama turut dikongsi penganalisis Dr Oh Ei Sun yang menurutnya keutamaan jangka pendek Anwar kekal sebagai keutamaan domestik kerana beliau perlu menstabilkan suasana politik dalam negara dan mengembangkan ekonomi domestik.

Bagaimanapun, Malaysia perlu lebih berfikiran terbuka dalam tanggungjawab antarabangsanya, seperti pematuhan kepada perdagangan bebas dan pasaran terbuka, kata Felow Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Memandangkan Anwar personaliti politik yang terkenal di peringkat antarabangsa, beliau berkata sudah pasti terdapat jangkaan di dalam dan luar negara untuk pentadbiran baharu memainkan peranan lebih besar dan proaktif di peringkat antarabangsa.

"Dengan kekukuhan ekonomi dan kestabilan landskap politik, Malaysia mampu mengalas lebih banyak tanggungjawab antarabangsa di bawah kepimpinan Anwar dan diharapkan muncul sebagai kuasa pertengahan yang berpengaruh," kata beliau.

Oh berkata Malaysia boleh menjadi mediator dalam banyak konflik di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata walaupun Anwar belum mengumumkan secara terperinci hala tuju dasar luar Malaysia, namun pendekatan berbaik-baik dengan negara lain sudah dipraktikkan apabila beliau berhubung dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Menurut beliau pengumuman berkenaan boleh datang kemudian kerana apa yang penting ketika ini adalah untuk menunjukkan kepentingan hubungan dua hala dengan negara lain sebagai asas kepada dasar luar Malaysia.

"Beliau bercakap dengan Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), dengan Presiden Indonesia Jokowi dan pemimpin-pemimpin lain. Sultan Brunei juga sudah melawat Malaysia.

"Itu langkag pertama untuk menunjukkan kepada dunia luar keadaan Malaysia adalah baik dan sudah ada kepimpinan yang meneruskan kerajaan, jadi seterusnya kita nak memulihkan keyakinan kepada negara-negara luar," katanya.

Syed Hamid juga melihat personaliti Anwar yang terkenal dalam kalangan pemimpin dunia dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi mampu mengembalikan Malaysia ke arus perdana dalam hubungan antarabangsa.

"Saya fikir banyak orang sekarang mengatakan Malaysia nampak pasif sedikit di peringkat rantau dan antarabangsa, peranan kita tidak nampak ketara, tak dilihat macam pernah kita memainkan peranan sebagai negara kuasa tengah (middle power).

"Saya tengok hubungan Anwar di peringkat antarabangsa dan dia ada banyak penyokong di peringkat antarabangsa. Justeru, saya fikir selepas ini peranan Malaysia akan nampak lebih terserlah," katanya.

Syed Hamid berkata sebagai seorang aktivis dan reformis, Anwar rapat dengan negara-negara Islam dan membangun, tetapi dalam masa sama perjuangannya turut didokong negara-negara barat.

Dalam isu persaingan kuasa-kuasa besar di rantau ini, beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara kecil perlu mengambil pendekatan seimbang yang memihak kepada kepentingan nasional Malaysia.

-- BERNAMA