Skip to main content

Politik

Zambry pertahan pendirian Onn Hafiz, gesa hentikan polemik kenyataan mengenai DAP

KUALA LUMPUR, 7 April -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini._BERNAMA
Tegas Zambry, Onn Hafiz juga bukan seorang yang bersifat cauvinis atau perkauman, sebaliknya, sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam pentadbirannya. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung kenyataannya yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP, sambil menyifatkan kritikan berlebihan terhadap perkara itu sebagai tidak wajar.

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pendirian yang dinyatakan oleh Onn Hafiz lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, bukannya berasaskan sentimen perkauman.

Bahkan, tegas beliau, Onn Hafiz juga bukan seorang yang bersifat cauvinis atau perkauman, sebaliknya, sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam pentadbirannya.

"Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik. 

"Sepanjang menerajui Johor, Datuk Onn Hafiz telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam masa sama, Zambry turut mengingatkan bahawa Johor pada penggal lalu ditadbir oleh BN sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan, justeru pendirian politik yang dinyatakan oleh Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri serta mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor.

Pada masa sama, beliau berkata pelbagai kritikan, sindiran dan kecaman terhadap UMNO serta BN sering dilontarkan oleh pihak lain di pentas politik, namun, perkara itu tidak dijadikan isu besar atau dibalas secara berlebihan.

Beliau menegaskan, perkara yang lebih utama ketika ini ialah memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat terus menjadi fokus semua pihak.

"Daripada terus membesarkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, adalah lebih baik semua pihak menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri, menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Menurut Zambry, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan kepimpinan, bukannya retorik politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan reaksi pelbagai pihak terhadap pendirian Onn Hafiz yang dilaporkan tidak mahu menjalin kerjasama politik dengan DAP di negeri Johor.

Pada 1 Jun lalu, Onn Hafiz mengumunkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Kelmarin, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor  menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN Johor.

Beliau berkata, realiti politik di negeri itu berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin selama ini.

"Apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Sultan Johor dan pemangku Sultan Johor, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri.

"Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka. Ini semangat Johor, Bangsa Johor," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement