KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menjadi perintis kepada pakej pelancongan mewah menggunakan rumah bot yang lebih canggih dan eksklusif di Tasik Kenyir dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris berkata langkah itu bertujuan memperkukuhkan lagi nama Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dengan pilihan pakej percutian lebih privasi di atas rumah bot dilengkapi kemudahan dan hiasan dalaman bertaraf hotel lima bintang.

"Cadangan ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ketengah baru-baru ini...untuk permulaan, Ketengah sendiri yang akan perkenalkan rumah bot mewah itu sebagai ikon baharu di Tasik Kenyir.

"Antara contoh kita boleh rujuk ialah rumah bot mewah di Finland yang dapat memenuhi kehendak dan cita rasa pelancong golongan atasan terutama dari luar negara yang mahukan percutian peribadi bersama keluarga atau untuk usahawan dan golongan korporat menjayakan pelbagai urusan perniagaan mereka di Tasik Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian replika cek sebanyak RM67,550 kepada Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) untuk penganjuran Hari Anugerah Kawat 2022 yang turut dihadiri lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi di sini, malam tadi.

Menurut Razali, antara kriteria perlu ada pada rumah bot itu nanti ialah menggunakan teknologi hijau yang lebih mesra alam sekitar demi kelestarian alam semula jadi di Tasik Kenyir, ciri keselamatan terbaik dan jumlah penumpang tidak terlalu ramai (tidak lebih 20 orang) seperti kapasiti rumah bot sedia ada.

"Setakat ini, telah ada beberapa pelabur berminat dengan cadangan ini dan kita masih berbincang untuk memuktamadkan beberapa perinciannya terutama dari segi kepakaran untuk pembinaannya nanti serta kaedah membawanya masuk ke Tasik Kenyir kerana laluan jalan raya sedia ada agak sempit.

"Sasaran kita seawal 2023, percutian di rumah bot baharu ini dapat ditawarkan kepada pelancong dan dalam masa sama, pengusaha rumah bot tradisional sedia ada juga akan mendapat 'tempias' dengan kewujudan rumah bot mewah itu kerana masing-masing mempunyai sasaran pelancong yang berbeza," katanya.

Ketika ini, terdapat lebih 70 rumah bot di Tasik Kenyir dengan purata kadar penginapan ialah RM3,000 untuk satu malam dengan kapasiti penumpang antara 25 hingga 30 orang.

-- BERNAMA