KUALA LUMPUR:Polis telah merakam percakapan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung enam kes melibatkannya termasuk penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen dalam sebuah portal.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, siasatan dibuat di bawah Seksyen 506 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sehingga kini sebanyak 113 laporan polis telah diterima termasuk aduan dari kalangan Ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan. Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat.

"Penyebaran kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,"katanya.

Lima keterangan lain turut dirakam terhadap Presiden Keadilan itu termasuk kenyataannya bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Selain itu adalah kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Bin Abu Adam, video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam negara Malaysia dan sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

"Siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

"PDRM menggesa semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis agar dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil dan tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Semalam (Jumaat, 16 Oktober), Anwar hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditemani oleh Peguamnya Ramkarpal Siwngh Deo dan Setiausaha Politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.