MALAYSIA
Keterbukaan, keterhubungan dan daya tahan penting untuk kemakmuran Asia-Pasifik

Mohd Faiz pada sesi “More Openness & Better Connectivity the Future of Asia Pacific Integration” sempena Program Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia pada Selasa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Asia-Pasifik hanya mampu terus makmur melalui keterbukaan, keterhubungan dan daya tahan, manakala perlindungan perdagangan serta pengasingan berpotensi melemahkan peranan rantau itu sebagai "nadi kemakmuran global", kata Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah.
Beliau berkata meskipun Asia-Pasifik kekal sebagai "enjin pertumbuhan paling dinamik", rantau ini berdepan "cabaran besar" akibat langkah perlindungan.
"Agak malang, langkah pelindungan seperti sekatan eksport kini menjadi ciri ketara landskap perdagangan semasa.
"Cabaran ini bukan sekadar ribut yang akan berlalu, sebaliknya ia adalah perubahan struktur yang menguji perpaduan serta daya tahan rantau ini," katanya.Beliau berkata demikian pada sesi “More Openness & Better Connectivity the Future of Asia Pacific Integration” sempena Program Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia, di sini, Selasa.
Sesi itu dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Forum Boao untuk Asia, Zhang Jun.
Mengulas lanjut, Mohd Faiz menegaskan bahawa "kemakmuran tidak pernah dicapai melalui pengasingan. Sebaliknya, keterbukaan, integrasi dan keterhubungan yang memberi kekuatan serta peluang kepada Asia-Pasifik."
Beliau turut menekankan keperluan mempertahankan multilateralisme dan memodenkan perdagangan dengan mereformasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta memperkukuh perjanjian serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
"Reformasi WTO lebih penting berbanding sebelumnya jika ia mahu mengembalikan kredibiliti sebagai pengadil yang penting dan berkecuali dalam empayar perdagangan global," katanya.
Beliau berkata perjanjian serantau "perlu berkembang untuk merangkumi perdagangan digital, tadbir urus data dan piawaian pakatan iklim."
Mengenai keterhubungan, Mohd Faiz menyifatkannya sebagai "penghubung nyawa integrasi" yang perlu difahami dalam dimensi menyeluruh.
"Rangkaian fizikal seperti pelabuhan, grid dan sistem pengangkutan sememangnya penting, namun tidak kurang pentingnya lebuh raya digital yang menjamin kelancaran aliran data serta rangkaian manusia yang membolehkan rundingan kemahiran, pengiktirafan kelayakan, pertukaran akademik dan mobiliti tenaga kerja," katanya.
Mohd Faiz turut menggesa negara-negara Asia-Pasifik komited membina masa depan bersama.
"Keterbukaan, keterhubungan dan daya tahan bukanlah konsep abstrak. Ia adalah nadi sebenar integrasi Asia-Pasifik.
"Jika ia dilemahkan, semua akan menderita. Jika ia diperkukuh, semua akan makmur. Maka kita mesti memilih untuk membinanya, bukan meruntuhkannya, agar Asia-Pasifik terus menjadi nadi kemakmuran global," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami