KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan bahawa masalah kelewatan aturan janji temu vaksinasi akan selesai apabila lebih banyak bekalan vaksin akan tiba pada Julai dan Ogos nanti.

Katanya, ketika ini juga fasa kedua vaksinasi yang memberikan tumpuan kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) masih lagi sedang berjalan.

“Ada yang tanya 'saya sudah daftar sejak 23 Februari tetapi kenapa belum dapat janji temu lagi?' Dari awal saya sudah sebut, ia mengikut fasa.

“Namun demikian saya nak bagi jaminan kepada mereka bahawa dengan kedatangan bekalan yang lebih besar penghantarannya pada Julai dan Ogos, kita akan dapat menyegerakan fasa ketiga yang melibatkan penerima berusia bawah 60 tahun,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa kekangan yang dihadapi negara adalah bekalan, memandangkan 30 juta dos yang dipesan masih belum sampai.

Ia sekali gus menafikan andaian yang mengatakan kerajaan menyimpan vaksin untuk tujuan-tujuan tertentu.

Dengan ketibaan bekalan besar bermula bulan depan, gerak kerja vaksinasi akan diperhebatkan dengan penambahan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang statik mahupun yang bergerak ke kawasan-kawasan terpencil.

Maka, maklum Khairy, sasarannya kini sudah ditingkatkan daripada 200,000 kepada 300,000 suntikan vaksin dalam sehari.

“Ini kita kena lihat dan rancang dengan cepat secara terperinci. Yang pertama adalah bekalan, mesti kita jamin kepada negeri-negeri.

“Kedua, apabila sudah jamin bekalan tersebut, kita kena beritahu negeri-negeri bahawa kadar penggunaan mestilah tinggi, kalau boleh 90 peratus ke atas.

"Apabila sampai sahaja, terus gunakan vaksin itu, jangan simpan dalam peti ais,” katanya.

Menurut Khairy, semuanya sudah berada dalam perancangan dan akan dilaksanakan sebaiknya untuk mencapai matlamat imuniti kelompok seperti mana disasarkan sesegera mungkin.

Tonton sesi bual bicara beliau dalam Agenda AWANI bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini:

Agenda AWANI: Vaksin ramuan pemulihan negara