SUNGAI SIPUT: Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengakui ketidaksefahaman dan ketegangan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedikit sebanyak merencatkan perancangan dan strategi parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, adalah penting untuk isu pengagihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) diselesaikan segera di samping mendapat persetujuan yang munasabah sebelum PRU15 diadakan kelak.

“Memang kalau tidak ada persefahaman dengan UMNO dan juga Bersatu memang kita ada masalah kerana mengikut kerajaan yang menerajui negara ini iaitu Perikatan Nasional, saya harap kerusi-kerusi ini jangan ditandingi.

“Tetapi, saya pasti bahawa sebelum pilihan raya ini isu-isu sebegini akan diselesaikan dan saya harap kita akan mendapat satu persetujuan yang munasabah supaya semua akan menerima hakikat keputusan pucuk-pucuk pimpinan di peringkat nasional,” katanya.

Vigneswaran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan mesin jahit dan cek kepada golongan B40 di Parlimen Sungai Siput pada Sabtu.

Dalam pada itu ujarnya, MIC akan menuntut kerusi-kerusi yang boleh dimenangi pada PRU15 daripada UMNO bagi membolehkan mereka kembali berada dalam kerajaan.

Katanya, pada PRU14 lalu, UMNO tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, dan beliau merasakan pada PRU akan datang MIC perlu diberikan ruang untuk bertanding di kerusi-kerusi yang boleh dimenangi.