Seorang ketua kerani perangkaan dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melindungi suaminya untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dalam peperangan pengganas di Syria.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Poziah Harun, 42, dan mengarahkannya menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 19 Ogos lepas.

Dalam prosiding itu, Kamardin berkata kesalahan tertuduh masih dikategorikan sebagai kesalahan serius walaupun tertuduh hanya berniat untuk melindungi dengan menemani suaminya bagi mendapatkan rawatan.

Hakim berkata mahkamah mengambil kira faktor pengakuan salah walaupun sepatutnya tertuduh mengaku bersalah pada awal kes kerana tertuduh boleh menunjukkan keinsafannya.

Bagaimanapun, mahkamah memberi perhatian serius terhadap faktor kepentingan awam yang melibatkan ketenteraman dan keselamatan negara disebabkan penularan kes keganasan di negara ini.

"Kesalahan dalam perbuatan keganasan ini bukan sahaja melibatkan pergerakan secara berkumpulan tetapi ia bergerak secara individu dalam pelbagai cara yang boleh membawa kemusnahan seperti pengganas ekstremis di Perancis dan Thailand," kata hakim.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa melindungi Zulkarnain Ghaz Abd Ghani, 31, sedangkan dia mempunyai pengetahuan bahawa suaminya itu telah melakukan perbuatan keganasan.

Poziah didakwa melakukan kesalahan itu di Poliklinik Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah, pada awal Sept hingga Dis 2014.

Sejurus selesai prosiding, Poziah yang berjubah dan bertudung hitam kelihatan menangis dan berpelukan dengan anggota keluarganya yang hadir di mahkamah.

Mengikut fakta kes, suaminya menghubungi tertuduh untuk memberitahu kepulangannya dari Syria dan kemudian meminta tertuduh membawanya ke poliklinik untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami ketika menyertai peperangan di sana (Syria).

Bagaimanapun, tertuduh telah menemui seorang rakannya Abdul Samad Abd Halim untuk memeriksa luka akibat terkena tembakan di bahagian tangan suaminya sebelum membawa suami ke poliklinik tersebut.

Pada 19 Ogos lepas, tertuduh ditangkap di rumahnya kerana tidak melaporkan kepulangan suaminya ke Malaysia selain turut menyembunyikan punca kecederaan yang dialami suaminya, meskipun mengetahui keadaan suaminya itu.

Terdahulu dalam rayuan yang dikemukakan peguam tertuduh, Mohd Hazrin Alif Wahab memohon hukuman pemenjaraan minimum atas alasan anak guamnya hanya bertindak sedemikian untuk menjalankan tugas sebagai seorang isteri.

Mohd Hazrin Alif berkata anak guamnya perlu menjaga tiga anak yang masih bersekolah dan anak kedua tertuduh menderita penyakit kemurungan selepas ibu dan bapanya (perkahwinan pertama) berpisah sejak dua tahun lepas.

Pada 1 Okt lepas, Zulkarnain Ghaz mengaku bersalah di mahkamah sama dan pada 9 Okt lalu, tertuduh dihukum penjara sembilan tahun kerana memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas.

Zulkarnain Ghaz didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret Ampang pada 5 Ogos lepas kerana memasuki Syria untuk memberi sokongan perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan senjata api bagi mengugut orang awam di negara itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.