KOTA BHARU: Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berjaya mengetepikan saman fitnah yang dikemukakan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa video dimuat naik Hazmi menuntut permohonan maaf Ahmad Dusuki yang memfitnah aset Tabung Haji (TH) telah dijual kepada orang bukan Islam tersebut bukan satu fitnah.

Peguam Faiz  Fadzil turut memperoleh bukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam dan mendapati pembelaan ‘common law’ yang dibangkitkan termasuk justification, fair comment dan qualified privilege sebagai ahli politik telah dibuktikan oleh Hazmi.

Dusuki diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Hazmi.

Ahmad Dusuki pada Ogos 2020 mengambil tindakan undang-undang terhadap Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming Hassan kerana didakwanya memfitnah.

Untuk rekod, Ahmad Dusuki melalui peguamnya menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Hazmi susulan satu kandungan video di laman YouTube pada 15 Julai 2020.

Dakwaan yang dibuat oleh Ahmad Dusuki mengenai TH semasa pentadbiran Pakatan Harapan.