MALAYSIA
Ketua Penasihat Bangladesh berlepas pulang selepas lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia

Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus melintasi kawalan kehormatan setempat oleh Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, di Kompleks Bunga Raya hari ini. - BERNAMA
SEPANG: Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Dr Muhammad Yunus berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau telah diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli di Kompleks Bunga Raya di sini.
Pesawat komersial yang membawa Muhammad Yunus dan delegasi berlepas ke Bangladesh pada 7.24 malam.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan album khas mengandungi gambar-gambar pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu sepanjang lawatan beliau ke Malaysia.Semasa sidang akhbar bersama dengan Anwar semalam, Muhammad Yunus menzahirkan penghargaan mendalam dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan serta layanan mesra yang berterusan terhadap pekerja Bangladesh selama ini.
Malaysia dan Bangladesh turut memeterai lapan Memorandum Persefahaman dan perjanjian bagi memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor termasuk pertahanan, tenaga, pendidikan tinggi, diplomasi, pembangunan halal serta kerjasama dalam sektor swasta.
Pada 2024, nilai perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion), peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun 2023.
Bangladesh adalah rakan perdagangan dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum serta barang-barang daripada industri pembuatan.
Malaysia dan Bangladesh telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1972.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami