Skip to main content

Malaysia

Ketua pengarah, pengarah jabatan kerajaan seleweng dana RM900,000 ditahan SPRM

Adobe Stock, SPRM
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang ketika hadir memberi keterangan di lbu Pejabat SPRM, Putrajaya. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang ketua pengarah dan seorang pengarah sebuah jabatan agensi kerajaan kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan masih giat dijalankan.

Advertisement

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

"Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi," katanya.

Mereka juga didapati telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang ketika hadir memberi keterangan di lbu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kata Azam lagi,  SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta.

Must Watch Video