KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Building Society Bhd (MBSB) meningkat 4.9 peratus kepada RM460.19 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 berbanding RM438.71 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Keuntungan itu dicapai susulan daripada kerugian modifikasi yang rendah berikutan berakhirnya moratorium di bawah program bantuan pembayaran semula, kata MBSB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pada Khamis.

Hasil juga meningkat sedikit kepada RM2.64 bilion berbanding RM2.62 bilion sebelumnya.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Nor Azam M Taib berkata deposit MBSB meningkat kepada RM36.5 bilion pada Tahun Kewangan 2022 daripada RM33.3 bilion pada Tahun Kewangan 2021, disumbang terutamanya oleh akaun semasa dan simpanan (Casa) daripada pelanggan runcit dan nisbah Casa berkembang kepada 6.2 peratus pada Tahun Kewangan 2022.

"Segmen pembiayaan kami meningkat sebanyak 6.6 peratus pada Tahun Kewangan 2022, yang tertinggi sejak 2018, dipacu oleh pembiayaan korporat pada 19.7 peratus dan pembiayaan hartanah pada 14.8 peratus.

"Ini merupakan keuntungan selepas cukai tertinggi yang kami capai dalam tempoh tiga tahun yang mencerminkan keberkesanan pelan perniagaan strategik kumpulan.

"Kami menyasar mengembangkan pembiayaan kami sebanyak tujuh hingga lapan peratus tahun ini apabila sektor kewangan mendapat manfaat daripada landskap ekonomi domestik ketika ini," katanya.

Pada masa depan, MBSB berkata kumpulan itu meneruskan strategi serampang empat mata untuk mengembangkan pembiayaannya sebanyak tujuh hingga lapan peratus menjelang akhir tahun.

"Strategi itu termasuklah pelan untuk meningkatkan bahagian pasaran dalam pembiayaan korporat dan hartanah, mengembangkan segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana, terutamanya dalam kalangan perniagaan melibatkan pertanian dan pembuatan makanan serta mengutamakan Casa kami untuk membiayai pertumbuhan pembiayaan," katanya.

-- BERNAMA