Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa penggunaan topeng muka jenis N95 diberi keutamaan kepada petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad rawatan COVID-19.

Sebaliknya, bagi petugas kesihatan di klinik biasa boleh menggunakan topeng muka tiga lapisan jika tidak berdepan dengan pesakit COVID-19.

Demikian jelas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengulas berkenaan isu kekurangan topeng N95 di Hospital Besar Kuching, Sarawak baru baru ini.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan penjimatan topeng muka jenis N95 bagi petugas kesihatan yang memerlukan.

"Kalau kita lihat dari segi Pakaian Perlindungan Diri (PPE), topeng muka jenis N95 dikhaskan untuk warga Kementerian Kesihatan atau barisan hadapan yang berhadapan dengan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga wad rawatan COVID-19.

"(Petugas) bukan di wad COVID-19 boleh guna (topeng muka) tiga lapisan.... tiada masalah. Tetapi topeng muka jenis N95 kena jimat untuk mereka yang perlukan di wad ICU dan wad COVID-19.

"Tetapi kalau kita tidak ada N95 pun petugas boleh guna face shield (perisai muka) dan topeng muka tiga lapisan untuk mereka yang kerja di klinik dan sebagainya," jelas Hisham.

Bagaimanapun, bagi memastikan bekalan sentiasa ada di setiap hospital yang merawat COVID-19, jelasnya KKM akan sentiasa mengagihkan topeng muka terutama jenis N95 termasuk di Sarawak dan Sabah.