Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan perlu terima kesan daripada tindakan beliau, termasuk melalui proses siasatan polis.

Menurut beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, tiada sesiapapun yang kebal daripada undang-undang negara, walau di mana kedudukan mereka.

"Beliau kena ikut proses undang-undang, tiada sesiapa yang kebal dari undang-undang.

"Datuk Seri Khairuddin kalau didapati bersalah, beliau mesti berdepan dengan undang-undang, itu sahaja," kata Khairy yang ditemui selepas merasmikan FitMalaysia Pulau Pinang di Kepala Batas.

Beliau juga menyerahkan segala bentuk siasatan dan tindakan kepada polis.

Khairy dalam pada itu menolak tanggapan penahanan Khairuddin akan memberi kesan kepada UMNO Pulau Pinang dan Batu Kawan.

"Tidak, dia (Khairuddin) dah hampir setahun digantung, UMNO Pulau Pinang masih lagi kuat, ini tidak jejaskan UMNO Pulau Pinang mahupun UMNO Batu Kawan," kata Khairy.


Khairy berkata demikian sebagai mengulas penahanan Khairuddin pada petang Jumaat atas dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Polis turut merampas beberapa barang peribadi termasuk komputer riba dan telefon bimbit milik Khairuddin.

Khairuddin kemudian direman enam hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan polis di bawah Akta 124C Kanun Keseksaan, atas cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.