Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diberi mandat penuh oleh perwakilan sayap itu apabila memperoleh 189 undi untuk terus menerajuinya buat penggal kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menjelaskan keputusan undian rasmi itu tidak melibatkan dua bahagian.

"Bahagian Pensiangan (Sabah) tidak memberi sebarang pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda manakala mesyuarat perwakilan dan pemilihan bahagian Gelang Patah (Johor) ditangguhkan kerana masalah dalaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Dato' Onn Ahad malam berhubung keputusan lanjut pemilihan bagi ketiga-tiga sayap UMNO yang berlangsung Sabtu.

Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan, mengungguli persaingan lima penjuru melibatkan Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, Tajol Rosli berkata keputusan rasmi hanya akan diketahui selepas Aidiladha berikutan dua calon teratas iaitu Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun terikat dengan keputusan seri 73 undi.

Tetap pula milik Bahrul Razha Chuprat yang meraih 74 undi menewaskan penyandang Muhammad Yadzan Mohammad (67), Hisham Ahmad Sabri (35), Mohd Shoubli Jamal (4) manakala Ahmad Mushawir Abdullah tidak menerima sebarang undi.

Dua puluh jawatan exco pergerakan itu pula diisi Fathulbari Mat Jahya yang unggul dengan 169 undi diikuti Armizan Mohd Ali (162), Mohd Najib Mohd Isa (156), Onn Hafiz Ghazi (156), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin (146), Nazir Hussin Akhtar Hussin (145), Khairul Firdaus Akbar Khan (130), Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad (124), Jeffri Salim (120) dan Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz (117).

Yang lain ialah Dazma Shah Daut @ Daud (106), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi (105), Muhammad Yusmizan Md Yunus (95), Mohamed Hazali Abu Hassan (93), Mohd Iskandar Jaafar (87), Arman Azha Abu Hanifah (85), Anuar Abd Manap (85), Mohd Rafiq Naizamohideen (82), Ibdilillah Ishak (76) dan Azlan Abdullah (76).