Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tidak tercalon pada pilihan raya akan datang tidak bermakna beliau bakal menghampakan penyokongnya.

"Terdapat banyak cara lain untuk berkhidmat kepada rakyat meskipun tidak tercalon. Saya akan kekal berada di arena politik tempatan walau apa cara sekalipun," menurut laporan The Malay Mail yang diterbitkan hari ini.

Pada 4 April lalu, Khairy menyatakan di laman sosial Facebook bahawa dia memilih untuk tidak bertanding dalam PRU akan datang dan sudah memaklumkan Perdana Menteri berhubung isu berkenaan.

"Setakat ini, BN Rembau mahu saya bertanding lagi. Saya mendapat sokongan daripada ketua bahagian yang juga menteri besar.

Walau apa jua yang berlaku, itu semua terserah kepada PM. Rekod peribadi saya diketahui umum namun saya tetap patuh kepada keputusan majikan saya," tambah beliau.

Beliau turut menafikan diketepikan dalam pentadbiran Perdana Menteri malah Datuk Seri Najib meminta beliau untuk fokus dalam hal ehwal Pemuda Umno. Khairy percaya terdapat faktor lain yang menghalau beliau menyertai kerajaan.

"Ianya tiada kena-mengena hubungan saya dengan Perdana Menteri yang mana memang sedia baik. Najib turut meminta saya mengetuai beberapa inisiatif dan menilai penglibatan saya. Kepimpinan Perdana Menteri memang saya sokong penuh.

"Kami telah pun bersetuju untuk tidak mendedahkan perkara yang tidak berkenaan kepada umum," menurut Ahli Parlimen Rembau itu yang menewaskan calon PKR Badrul Hisham Shaharin dengan 5,746 undi pada PRU lepas.

Khairy, 37, pernah menuntut di Universiti Oxford pada tahun 1998 dan tamat sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi.