Skip to main content
Advertisement

Sukan

Infantino arah semakan agihan dana FIFA selepas UEFA, CONCACAF tuntut AS$2.1 bilion

Soccer Football - FIFA Under-20 Women's World Cup - Final - Spain v North Korea - Stadion Miejski LKS, Lodz, Poland - September 27, 2026 FIFA President Gianni Infantino during the trophy ceremony after Spain win the Under-20 Women's World Cup REUTERS
Infantino berkata, penilaian tersebut akan dibentangkan kepada Majlis FIFA pada 15 Oktober depan dan sebarang pembiayaan tambahan hanya boleh diluluskan selepas melalui semakan kewangan serta proses kelulusan rasmi. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

COPENHAGEN: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengarahkan penilaian dibuat terhadap cadangan untuk meningkatkan agihan dana kepada persatuan bolasepak kebangsaan susulan desakan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) yang mahu pembayaran sebanyak AS$2.1 bilion dilakukan daripada rizab badan induk itu.

Bagaimanapun, Infantino tidak memberikan komitmen terhadap sebarang jumlah tertentu buat masa ini.

Dalam surat kepada enam presiden konfederasi benua yang diperoleh Reuters pada Isnin, Infantino berkata, penilaian tersebut akan dibentangkan kepada Majlis FIFA pada 15 Oktober depan dan sebarang pembiayaan tambahan hanya boleh diluluskan selepas melalui semakan kewangan serta proses kelulusan rasmi.

“Sehingga penilaian dan kelulusan yang diperlukan selesai, tiada sebarang angka awal boleh dianggap sebagai komitmen yang telah diluluskan kepada Persatuan Ahli,” katanya.

Awal bulan ini, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dan Presiden CONCACAF, Victor Montagliani mencadangkan supaya setiap daripada 211 persatuan ahli FIFA menerima sekurang-kurangnya AS$10 juta bagi kitaran 2027 hingga 2030, selain dana pembangunan sedia ada.

Mereka turut menggesa semakan bebas dilakukan terhadap rizab kewangan FIFA.

Dalam surat bertarikh 18 September, kedua-dua pemimpin itu mempersoalkan sama ada cadangan pelaburan swasta yang telah dibatalkan FIFA sebelum ini benar-benar diperlukan untuk meningkatkan pembiayaan, memandangkan rizab badan itu dijangka mencecah kira-kira AS$6 bilion menjelang akhir tahun 2026.

Menurut mereka, cadangan pengagihan tersebut masih membolehkan FIFA mengekalkan rizab melebihi AS$1.5 bilion sepanjang kitaran berikutnya.

Infantino bagaimanapun mempertahankan rasional pelan komersial yang telah ditarik balik itu dengan menjelaskan ia bertujuan menjana dana tambahan melebihi kemampuan FIFA untuk diagihkan melalui sumber sedia ada.

“Cadangan komersial yang dikemukakan sebelum ini dan kini ditarik balik bertujuan membolehkan FIFA melabur lebih banyak dalam pembangunan bola sepak, bukan menggantikan bantuan yang boleh diberikan secara bertanggungjawab daripada sumber sedia ada.

“Dalam erti kata lain, ia adalah tambahan kepada dana yang sedia ada,” katanya.

Projek FIFA Forward Enterprise itu dibatalkan pada Julai lalu selepas menerima tentangan daripada beberapa konfederasi, termasuk UEFA, CONCACAF dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang mendakwa kurangnya rundingan sebelum cadangan tersebut dikemukakan.

Pertikaian itu turut mencetuskan tuntutan supaya perubahan dilakukan terhadap struktur tadbir urus FIFA.

Menurut Infantino, pentadbiran FIFA sebenarnya telah lama menilai kaedah untuk menyalurkan pembiayaan pembangunan dan solidariti tambahan sebelum menerima cadangan rasmi daripada konfederasi berkenaan.

Beliau turut meminta semua presiden konfederasi mengemukakan model kewangan, andaian serta maklumat sokongan kepada Setiausaha Agung FIFA, dengan bantuan jawatankuasa berkaitan untuk mengesahkan setiap andaian yang digunakan.

Katanya, Majlis FIFA perlu menentukan jumlah dan masa pembayaran tambahan yang sesuai, kadar rizab yang diperlukan bagi melindungi tanggungjawab badan itu serta mengekalkan kebebasan kewangannya.

Selain itu, majlis tersebut juga perlu menetapkan syarat kelayakan, pelaporan dan audit bagi sebarang pengagihan dana yang diluluskan.

Penilaian itu turut akan mengambil kira keperluan bantuan kepada konfederasi yang berdepan kos struktur yang dapat dibuktikan.

Sekiranya bukti yang mencukupi diperoleh, Majlis FIFA akan menerima cadangan lengkap pada 15 Oktober. Jika tidak, badan itu akan menetapkan jadual paling singkat yang munasabah untuk menyelesaikan proses penilaian berkenaan.

“Saya tidak akan membuat andaian awal mengenai jumlahnya. Saya akan menyokong tahap pembiayaan tambahan tertinggi yang boleh disalurkan secara bertanggungjawab menerusi proses tadbir urus FIFA yang sewajarnya, dilaksanakan secara adil serta disokong mekanisme yang telus dan boleh diaudit,” kata Infantino.

Beliau turut mengulangi pelawaan kepada semua pihak untuk mengemukakan cadangan bagi memperkukuh proses membuat keputusan FIFA, sambil menggesa setiap konfederasi menghormati keputusan yang dicapai menerusi saluran institusi badan induk bola sepak dunia itu.

“Kepercayaan bukan bermaksud tiada perbezaan pendapat. Ia dibuktikan apabila kita berinteraksi secara langsung, menilai cadangan berdasarkan fakta dan menghormati keputusan yang dicapai menerusi proses demokrasi serta institusi FIFA, walaupun hasilnya tidak semestinya seperti yang kita inginkan,” katanya. - Reuters

Must Watch Video

Advertisement