Khazanah sokong penuh Belanjawan 2026, fokus pelaburan strategik dan inklusif

Amirul Feisal (foto) berkata belanjawan diumumkan semalam itu sejajar dengan mandat Khazanah untuk memajukan Malaysia melalui pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan Malaysia MADANI 2026, menyifatkannya sebagai cerminan komitmen kerajaan dalam memperkukuh asas ekonomi negara serta memacu pertumbuhan yang inklusif, mampan, dan berdaya saing.
Ringkasan AI
- Khazanah Nasional menyokong penuh Belanjawan Malaysia MADANI 2026 yang sejajar dengan mandat pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi dan pembangunan inklusif.
- Melalui Dana Impak, Jelawang Capital dan program K-Youth, Khazanah memperkukuh ekosistem inovasi tempatan, menyediakan pembiayaan kepada syarikat sederhana dan latihan kepada 11,000 belia dalam sektor masa depan.
- Khazanah turut menyambut baik pemerkasaan MAHB menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pelaburan RM600 juta dalam inisiatif Warisan KL untuk memulihara bangunan bersejarah ibu kota.
Selain itu, Amirul Feisal berkata Khazanah akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan strategik di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi menterjemahkan keutamaan nasional kepada nilai jangka panjang untuk negara.
Menurutnya, melalui Dana Impak dan Jelawang Capital, Khazanah memberi tumpuan kepada pelaburan yang memperluas peluang dan memupuk ekosistem inovasi tempatan.
Program Syarikat Peringkat Pertengahan Khazanah pula akan menyediakan pembiayaan sehingga RM250 juta bagi membantu syarikat bersaiz sederhana berkembang dan meningkatkan daya saing dalam rantaian nilai global.
“Kami terus menyokong agenda pelaburan strategik kerajaan dalam bidang seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan nadir bumi,” tambah beliau.
Amirul Feisal memaklumkan, program K-Youth akan memperuntukkan RM200 juta untuk menyediakan latihan berasaskan kerja kepada 11,000 rakyat Malaysia dalam sektor bernilai tinggi, bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang bersedia untuk industri masa depan.
Sementara itu, Khazanah turut menyambut baik inisiatif memperkukuh hubungan antarabangsa negara melalui pemerkasaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan udara dan menyokong sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Syarikat pelaburan negara itu turut menumpukan usaha menggiatkan semula warisan ibu kota melalui inisiatif Warisan KL, dengan pelaburan sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan Carcosa Seri Negara serta beberapa bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad.
“Belanjawan 2026 mencerminkan usaha bersama untuk memperkukuh asas negara dan membina Malaysia yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan,” kata beliau.
Amirul Feisal memaklumkan bahawa Khazanah kekal komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan serta rakan strategik bagi memastikan setiap pelaburan diterjemahkan kepada kemajuan sebenar buat rakyat Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami