KUALA LUMPUR: "Terima kasih kepada pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membenarkan khemah didirikan semula di lokasi piket 'Kepung Demi Palestin'," kata Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Syed Sheikh Al-Attas.

Beliau yang hadir mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Sejagat turut memberikan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membantu memastikan keselamatan peserta dan orang ramai berhampiran lokasi demontrasi aman yang di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini berada di dalam keadaan baik.

"Malam ketiga kami bersyukur mereka yang hadir pada piket 'Kepung Demi Palestin' dapat mengadakan solat hajat dan munajat pada hari ketiga siri demontrasi aman ini diadakan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Syed Sheikh Al-Attas. - Foto Sinar Harian


Syed Sheikh dalam pada itu menjangkakan kehadiran orang ramai terhadap piket berkenaan akan meningkat pada hari terakhir penganjuran pada malam Ahad ini.

"Mari kita turun beramai-ramai menyatakan solidariti kepada Palestin bersempena tahun baru 2024, semoga jihad kecil ini dapat membuka pintu hati dunia untuk terus membantu saudara kita yang teruk ditindas dan diserang oleh Israel dan sekutunya," ujarnya.

Program solat hajat yang bermula selepas selesai solat maghrib dan berakhir kira-kira jam 11 malam itu diihadiri oleh beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) antaranya dari Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women's Coalition for Al-Quds and Palestine. 


Sebahagian peserta piket 'Kepung Demi Palestin' mengadakan solat hajat solidariti kepada Palestin. - Foto Sinar Harian


Tinjauan Sinar Harian mendapati program berjalan lancar dengan pihak berkuasa termasuk polis mengadakan kawalan ketat bagi memastikan keselamatan orang awam, lalulintas dan kawasan kedutaan bebas dari sebarang kejadian tidak diingini.

Program berkenaan adalah usaha warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin setakat 24 Disember lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mengesahkan antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women's Coalition for Al-Quds and Palestine


Peserta piket meluahkan kemarahan terhadap kekejaman Israel mereka melalui poster dan plakad yang dibawa. - Foto Sinar Harian


Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini menasihati peserta piket solidariti untuk Palestin supaya tidak mendirikan sebarang struktur atau khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, sepanjang himpunan itu berlangsung selama enam hari bermula malam Selasa lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan kertas siasatan berkenaan dibuka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, sehingga kini, polis belum memanggil penganjur piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ untuk diambil keterangan kerana menunggu perhimpunan aman itu selesai Ahad ini. - Sinar Harian