Jika Porsche 911 GT3 RS adalah sebuah kereta lumba yang diadaptasi untuk digunakan di jalan raya biasa, model terbaharu yang diperkenalkan oleh Porsche iaitu 911 GT3 R pula adalah versi yang diolah khusus untuk kegunaan perlumbaan kategori GT3.

Luaran
Terdapat banyak juga persamaan diantara kedua-dua jentera ini, termasuk bumbung ‘double-bubble’, serta wheelbase (jarak roda) yang dipanjangkan sebanyak 8.3sm bagi memastikan imbangan berat terbaik di samping pengendalian lebih positif terutamanya di selekoh berkelajuan tinggi.

Banyak perhatian diberikan untuk memastikan berat badan kereta dikurangkan; dan ini dilakukan dengan menggunakan gabungan komposit aluminium-besi dengan komposit gentian karbon diperkuatkan plastik (CFRP). Untuk cermin pintu dan juga buat kali pertama bagi cermin hadapan bahan polikarbonat digunakan.

Enjin & brek
Sebuah enjin jenis ‘boxer’ 4.0 liter yang hampir serupa sepertimana yang digunakan di dalam GT3 RS menghasilkan sehingga 500hp, tetapi di dalam pertandingan output ini tertakluk kepada perlumbaan GT3 yang disertai serta kekangan penyekat udara digunakan mengikut peraturan FIA.

Kuasa yang terhasil dihantar kepada roda belakang menerusi kotak gear ‘sequential’ 6-kelajuan, dan penukaran gear dilakukan menggunakan ‘paddle shifter.’

Untuk prestasi bagi kegunaan perlumbaan, sistem brek untuk gandar hadapan dinaik taraf kepada cakera keluli 380mm yang dicengkam angkup enam-omboh monoblok aluminium. Untuk gandar belakang pula, cakera adalah bersaiz 372mm yang dipadankan dengan angkup-empat omboh.

Pemandu boleh menala kekuatan brek pada gandar-gandar belakang dan hadapan mengikut kesesuaian diperlukan.

Aerodinamik & keselamatan
Lubang aliran udara pada fender hadapan dikatakan membantu untuk meningkatkan tekanan ‘downforce’ manakala di bahagian belakang pula keperluan ini dijalankan oleh spoiler belakang besar dengan panjang dua meter dan selebar 40sm.

Radiator dialihkan ke tengah kereta sepertimana yang dilakukan pada model 911 RSR untuk mengubah kedudukan titik tengah graviti.

Saiz tangki keselamatan bahan api FT3 telah meningkat sebanyak 12 liter kepada 120 liter, termasuk injap keselamatan. Kedua-dua pintu dah cermin tepi dapat ditanggalkan agar pemandu dapat keluar dengan lebih mudah jika perlu.

Sebagai sebuah kereta lumba, harganya juga tidak murah: lebih kurang 429,000 Euro, dan penghantaran hanya akan bermula dari bulan Disember 2015.