CO-OPBANK Pertama (CBP) berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kibaran kain rentang sepanjang 10 meter di dasar laut.

Menurut CBP dalam satu kenyataan, kain rentang yang dikibarkan di Taman Laut Pulau Perhentian itu adalah sempena sambutan Hari Guru 2023, 16 Mei depan.

Ia juga merupakan salah satu usaha syarikat itu merakamkan penghargaan kepada warga pendidik seluruh negara.

“Misi mengibarkan kain rentang ini turut disertai penyelam berlesen daripada kalangan guru, murid, penyelam jemputan dan profesional termasuk Ketua Pegawai Perbankan Runcit CBP, Rafis Mahtar,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, program mengibarkan kain rentang itu merupakan inisiatif di bawah CB-Proaktif.

“CB-Proaktif merupakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada penjagaan alam sekitar dan juga CB-Pendidik yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan pendidikan.

“Program ini juga sebagai satu usaha CBP untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar, lautan dan gaya hidup sihat.

“Ia dapat dilakukan melalui aktiviti rekreasi sukan selam skuba dan pemuliharaan laut serta meningkatkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam marin,” jelas beliau.

Seramai enam penyelam dari CBP bersama 27 penyelam Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan agensi-agensi lain telah berjaya membentangkan kain rentang gergasi itu.

Pengiktirafan tersebut telah disahkan wakil MBOR, Lee Pooi Leng yang telah pun menyampaikan sijil pengesahan kepada wakil CBP, Rafis Makhtar.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah.