Skip to main content

Malaysia

Kilang perabot dan elektronik musnah dalam kebakaran di Melaka

kebakaran kilang, melaka
Operasi pemadaman membabitkan 57 anggota bomba dengan penggunaan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air serta sebuah Aerial Ladder Platform (ALP). - Gambar/ JBPM Melaka
Advertisement

MELAKA: Dua kilang dijadikan stor penyimpanan serta jualan perabot dan barangan elektronik di Kawasan Perindustrian Permai Merdeka, Batu Berendam, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma'at berkata sebuah lagi kilang percetakan yang terletak bersebelahan premis terbakar itu, berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kesan asap.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6 pagi sebelum anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dibantu oleh BBP Cheng serta BBP Ayer Keroh tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Pasukan bomba membuat tindakan awal sebaik tiba di lokasi, namun api marak dengan cepat menyebabkan bantuan daripada beberapa balai bomba dipanggil bagi mengawal kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Zaidi berkata operasi pemadaman membabitkan 57 anggota bomba dengan penggunaan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air serta sebuah Aerial Ladder Platform (ALP).

Beliau berkata operasi itu turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkaitan, bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sepanjang operasi dijalankan.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah struktur bangunan yang dipercayai telah melalui kerja-kerja pengubahsuaian, sehingga menyukarkan proses pengudaraan dan penyejukan haba semasa operasi pemadaman.

“Pihak bomba turut mengambil langkah berjaga-jaga berikutan terdapat pemasangan sistem solar di beberapa kilang,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Zaidi berkata dinding pemisah yang direka, mampu menahan kebakaran sehingga empat jam menghalang api daripada merebak ke premis bersebelahan.

Beliau berkata operasi kini memasuki fasa overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira seminggu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement