JASIN: Kira-kira RM4 juta disalurkan kepada petani di Melaka tahun ini menerusi penyerahan insentif pembangunan negeri dan Persekutuan kepada peserta yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian bagi menggalakkan pengeluaran hasil pertanian dan makanan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata menerusi peruntukan tersebut, pihaknya berharap lebih ramai petani berdaftar dengan pejabat pertanian daerah masing-masing supaya bantuan tersebut dapat disalurkan secara menyeluruh.

"Setakat ini seramai 7,902 petani sama ada yang menjalankan tanaman secara kecil-kecilan dan besar-besaran direkodkan berdaftar, namun kita memerlukan data kemasukan baharu petani setiap tahun supaya peruntukan yang sebenar dapat dimohon daripada kerajaan Persekutuan untuk membantu golongan berkenaan.

"Pendaftaran ini bukan sahaja melibatkan mereka yang mengusahakan kebun atau ladang, malah petani kecil yang mengusahakan tanaman di halaman rumah turut diminta mendaftar supaya memudahkan Jabatan Pertanian memberikan khidmat nasihat atau bantuan sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Projek Pembangunan dan Program Pertanian Bandar peringkat daerah Jasin yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Pada majlis itu, Muhamad Akmal turut menyampaikan insentif kepada 226 petani daerah Jasin membabitkan peruntukan berjumlah RM1.011 juta.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai petani akan mendaftar kerana Jabatan Pertanian di setiap daerah mempunyai kepakaran terutamanya dalam memberikan khidmat nasihat mengenai penggunaan baja, rawatan penyakit dalam pertanian dan lain-lain yang boleh dimanfaatkan oleh golongan petani.

"Jika kita lihat dalam tempoh beberapa tahun ini, peningkatan jumlah petani yang berdaftar di Melaka tidak ketara iaitu hanya melibatkan lebih 7,000 petani sahaja.

"Apabila kita mempunyai data ini, ia juga mampu menyumbang kepada rekod kadar tahap sara diri (SSL) pertanian di negeri ini selain dapat membantu mengatasi masalah lambakan hasil," katanya.

-- BERNAMA