"KITA langgar JDT," itu tegas penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin, yang tidak mahu terlalu menghormati pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam kunjungan Tok Gajah ke padang lawan malam ini.

Matlamat Pahang hanya ingin mengutip mata dalam saingan Liga Super.

Tiada rasa gentar pada Nasril walaupun lawan yang bakal ditemui sudah diperakui kehebatan mereka.

Nasril ternyata bersedia biarpun bakal berdepan JDT yang memiliki gandingan mantap di jentera serangan membabitkan Jorge Pereyra Diaz bersama Juan Martin Lucero, di tambah dengan perancang utama, Safiq Rahim.

Hasrat Nasril tidak pernah luntur walaupun hakikatnya ketika ini skuad Pahang bukanlah seperti tahun sebelumnya.

Penjaga gawang skuad Tok Gajah itu tidak mahu semangat pasukan luntur hanya disebabkan kredibiliti JDT yang cemerlang dengan kejayaan yang dikecapi akhir-akhir ini.

"Bagi saya, itu terletak pada hati masing-masing. Selagi kami mempunyai semangat juang yang tinggi, tidak kira siapa, kami akan 'langgar' juga.

"Saya berada di prestasi terbaik bersama rakan-rakan, tidak kira siapa lawan, yang penting adalah keikhlasan serta kejujuran dalam bekerja," katanya.