Pihak polis hari ini menafikan mereka memberi kebenaran mengadakan perhimpunan #KitaLawan yang dijangka diadakan esok dan 7 Mac di sekitar kawasan pusat beli-belah Sogo.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata pihak penganjur tidak membuat sebarang permohonan rasmi atau notis pemberitahuan kepada polis mengenai perhimpunan itu.

“Ketika mesyuarat pagi tadi, kami telah memaklumkan kepada penganjur supaya tidak mengadakan perhimpunan di kawasan situ. Kawasan Sogo itu adalah hak milik Sogo.

"Pihak pengurusannya sudah pun membuat laporan polis dan mereka tidak memberi kebenaran perhimpunan itu diadakan. Bila laporan polis telah dilakukan, kami hanya mengambil tindakan.

"Kami juga telah mencadangkan kepada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium atau di Padang Merbok," jelas Zainol ketika dihubungi Astro AWANI.

Zainol berkata pihak penganjur perlu memilih tempat yang tidak mengganggu lalu lintas dan orang awam untuk melakukan perhimpunan.

Lantaran itu pihak polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menghadiri perhimpunan yang menyalahi undang-undang itu esok kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi mengesahkan perhimpunan #KitaLawan akan diteruskan pada 28 Februari dan 7 Mac.

Mereka mendakwa telah mengadakan perbincangan bersama pihak polis kira-kira jam 10.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan kemudiannya memberi kenyataan kepada media di luar balai.

#KitaLawan merupakan satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.

Pada 21 Februari, perhimpunan #KitaLawan di Sogo berakhir dengan penangkapan Adam Adli dan bekas Ketua AMK Fariz Musa.