Sempena dengan kempen sambutan Merdeka Astro dengan hashtag #KitaSama, kami mengalu-alukan kandungan dari pembaca-pembaca setia kami!

Berikut adalah kenangan merdeka kiriman oleh seorang pembaca yang ingin dikenali sebagai FiT RaFael. Oleh kerana ingin menjadi 'cool' ketika beliau berada di tingkatan 4, beliau sanggup 'mencilok' bendera Malaysia. Akhirnya, beliau dan rakan-rakannya dirotan, di suruh buat 'star jump' dan ketuk ketampi dan itulah saat yang tidak boleh dilupakan.

Cerita ni berlaku pada 2003 ketika aku tingkatan 4 di Sek Men Teknik Seri Iskandar, Perak. Dalam seminggu lagi nak menyambut hari kemerdekaan, sekolah aku menghiaskan sekolah dengan bendera-bendera Jalur Gemilang. Ya, sempena merdeka tak lengkap rasanya kalau kita semua tak mengibarkan Jalur Gemilang pada Hari Merdeka nanti. itulah yang difikirkan ramai pelajar-pelajar ketika itu, termasuklah aku.

Satu malam, aku ternampak pelajar-pelajar Senior aku (tingkatan 5) mencilok bendera-bendera yang digantung sekitar sekolah. Aku dengan rasa 'cool' berasakan yang aku perlu buat benda 'cool' tu jugak, cilok bendera Malaysia. Tapi, senior-senior aku buat kerja dengan pantas dan cekap, habis semua bendera mereka sapu. Aku rasa adalah dalam 50 jalur gmilang waktu tu. Aku sedikit hampa.

Tapi, ketika melalui kaki lima sekolah yang menghampiri ke dataran perhimpunan, nasib aku baik. Aku ternampak jalur gemilang di tiang bendera. Dengan gaya biadab dan tak patut ditiru oleh pelajar-pelajar sekarang, aku menurunkan jalur gemilang tersebut. Biasalah, hati mesti berdebar-debar dan mata pandang ke kanan kiri, ketakutan. Akhirnya, jalur gemilang berjaya dilipat-lipat kecil.

Kebetulan, sebelah tiang jalur gemilang tu adalah tiang bendera Perak. Aku terfikir yang minggu tu jugak ada perlawanan bola Perak lawan apa entah, aku pun sapu. Aku pulang dengan rasa bangga, sebab time tu tak ramai junior berani cilok bendera kepunyaan sekolah. Hehehe

Esoknya, diadakan perhimpunan mengejut, sudah tentu sebab jalur gemilang yang hilang. Semua dipanggil dan disuruh mengaku siapa yang mencuri bendera Malaysia. Semua senyap, tak nak mengaku. Tiba-tiba, seorang Ustaz mengugut akan membacakan yasin dan berdoa supaya sesuatu akan terjadi kepada pencuri tu nanti. Aku semakin cuak.

Akhirnya, aku panggil member aku seorang pengawas.

Aku kata kat dia, "aku ada ambil bendera semalam."
Dia tanya, "Ko nak ke depan ke?"
Aku jawab, "Apa nak jadi pun jadilah."

Lepas aku ke depan dan mengaku, aku menerima tamparan dan ketukan di kepala. Dia marah sebab aku ambil bendera. Aku tak salahkan dia sebab dia antara cikgu yang aku hormat sebab mengajar aku mata pelajaran Sejarah dengan best.

Lepas beberapa minit, berbelas-belas pelajar senior keluar beramai-ramai mengaku. Malam tu kat asrama, aku dijemput menghadap senior-senior. Aku ingat nak belasah ke apa, rupanya ajak minum dan makan biskut.

Pui! Kami gelak beramai-ramai mengenangkan betapa awesomenya kes siang tadi yang mana semua kena rotan, star jump dan ketuk ketampi. Kenangan Merdeka.