Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini bertemu dengan Veveonah Mosibin dan meminta maaf bagi pihak kerajaan atas isu yang ditimbulkan dua timbalan menteri sebelum ini.

Pertemuan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berlaku sehari selepas Ahli Parlimen Rembau berkenaan mengesahkan Jemaah Menteri berpendapat tindakan dua timbalan menteri terbabit tidak betul dan tidak wajar.

Khairy turut mengambil kesempatan itu untuk menawarkan supaya Veveonah bekerjasama dengan agensi di bawah kementeriannya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk membangunkan projek inovasi di kampungnya.

Khairy memuat naik gambar pertemuan yang turut disertai ibu dan bapa pelajar berkenaan menerusi entri terbaharu di akaun Twitter miliknya.

"Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan.

"Saya juga telah cadangkan untuk Veve bekerjasama dengan @YayasanInovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar," katanya ringkas dalam akaun Twitternya.


Semalam, Khairy dalam Twitternya turut mengesahkan bahawa kenyataan kedua ahli Parlimen berjawatan timbalan menteri itu tidak betul dan tidak wajar.

Pada 3 September lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dalam Sidang Dewan Negara berkata, isu Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan hanyalah untuk rancangan YouTube pelajar berkenaan.

Bagaimanapun selepas mendapat kecaman pelbagai pihak, beliau memohon maaf kepada Veveonah.

Beliau mendakwa menerima maklumat berkaitan Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet daripada Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri yang juga ahli Parlimen Kudat.

Abd Rahim kemudian tampil menjelaskan beliau mendapat maklumaat itu daripada laporan pegawai lapangan di daerah Pitas.