KUALA LUMPUR: Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kuasa untuk membuat kesalahan perincian serta mengurangkan kompaun kesalahan akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia tertakluk kepada kementerian berkenaan selepas kuasa mengeluarkan saman dan tawaran kompaun dibuat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita dengar dan faham ramai yang keliru dengan RM10,000. Ramai yang berasakan bahawa RM10,000 ini akan dikenakan kepada setiap kesalahan.

"Sedangkan beberapa kali dijelaskan oleh Ketua Polis Negara malah saya sendiri menjelaskan bahawa RM10,000 itu adalah maksimum dan KKM boleh mengurangkan kompaun berdasarkan kesalahan dan merekalah sebenarnya yang berkuasa untuk mengurangkan kompaun yang dikenakan," katanya semasa sidang media pada Selasa.

Mengulas isu berkaitan, Ismail menjelaskan pihak universiti boleh mengawal pergerakan keluar masuk pelajar mereka kerana ia merupakan kawasan persendirian.

Dalam pada itu katanya, 134 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

"Daripada jumlah itu, 127 telah dikompaun manakala tujuh direman.

"Antara kesalahan ingkar SOP adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (36), tidak memakai pelitup muka (31), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (26), tiada penjarakan fizikal (20), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (4)," ujarnya.

Katanya lagi, Operasi Benteng telah menangkap 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

Sementara itu katanya, sebanyak 70 operasi sanitasi dilakukan meliputi 27 zon merah, enam zon jingga, 10 zon kuning dan dua zon hijau di seluruh negara.

Ujarnya lagi, seramai 4,957 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada Isnin dan daripada jumlah itu, 71 didapati positif.

Secara kumulatifnya tegas Ismail, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 623,443 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 32,218 majikan.