Skip to main content

Malaysia

KKM akan laksana kuota 30 peratus latihan kepakaran pegawai perubatan Sabah, Sarawak

Dr Dzulkefly berkata, langkah itu merupakan komitmen kementerian bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan pegawai perubatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan. - Foto Parlimen Malaysia
Dr Dzulkefly berkata, langkah itu merupakan komitmen kementerian bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan pegawai perubatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan. - Foto Parlimen Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini, langkah itu merupakan komitmen kementerian bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan pegawai perubatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu.

"Ini komitmen saya bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan para pegawai perubatan kita di Sabah dan Sarawak.

"Saya berbesar hati untuk memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa saya telah mengarahkan KKM untuk meneliti dan seterusnya melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus sebagai lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta menteri nyatakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang gagal melapor diri sebaik tempoh penempatan berakhir hari ini, di samping punca dan langkah mengatasinya, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung penamatan lantikan kontrak, Dr Dzulkefly berkata pengumuman berhubung perkara itu dijangka dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Kita mengharapkan apa yang menjadi cita-cita sejak awal, apabila kembali mengemudi kali kedua, adalah untuk menamatkan perkhidmatan kontrak. 

"Perkara ini telah pun dipertimbangkan dan mungkin kita perlu sedikit bersabar sementara menanti pengumuman yang bakal dibuat.

"Apa yang mustahak untuk saya sebutkan ialah perkara ini telah pun kita ambil dan kita angkat permohonannya. Ada sinar dalam pembentangan Belanjawan akan datang dan kita perlu sedikit bersabar,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement