MALAYSIA
KKM bincang dengan JPA bagi pengisian perjawatan tetap baharu pegawai perubatan

Lukanisman ketika sidang media selepas Merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan Hari Tuberkulosis (TIBI) Sedunia di Kulai hari ini. - Foto Bernama
KULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan pengisian perjawatan tetap baharu membabitkan jawatan pegawai perubatan.
Ringkasan AI
- KKM usahakan penambahan jawatan tetap untuk doktor: KKM sedang berunding dengan JPA untuk menambah perjawatan tetap bagi mengisi kekosongan dan mengurangkan beban pegawai perubatan, termasuk pengagihan yang lebih seimbang di seluruh negara.
- Isu migrasi dan kebajikan doktor diberi perhatian: Kerajaan berusaha membendung penghijrahan doktor ke luar negara dengan menambah baik keseimbangan kerja-hidup dan menangani isu kelelahan serta buli di hospital.
- Fokus pengisian jawatan tetap di Sabah, Sarawak dan Labuan: KKM gesa doktor menerima penempatan tetap di wilayah tersebut, sambil menyelesaikan fasa pertama e-Placement melibatkan lebih 2,200 pegawai perubatan.
"Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab juga sedang melihat secara menyeluruh mengenai pengagihan tidak seimbang dan pengisian mengikut keperluan semasa pegawai perubatan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Beliau diminta mengulas gesaan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira yang meminta kerajaan memansuhkan lantikan jawatan doktor secara kontrak bagi memulihkan keyakinan mereka untuk terus berkhidmat dalam sektor awam.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata KKM juga sudah menyelesaikan fasa pertama e-Placement membabitkan penempatan 2,231 pegawai perubatan.
"Pegawai perubatan perlu faham bahawa perjawatan tetap ini untuk seluruh Malaysia. Apa yang berlaku ketika ini adalah 60 peratus permohonan pegawai perubatan itu dipenuhi yang kita meletakkan mereka di fasiliti kesihatan atas permintaan mereka.
"Kita mempunyai ruang dan kekosongan perjawatan pegawai perubatan di Sabah, Sarawak dan Labuan. KKM memohon supaya pegawai perubatan ini dapat menerima perpindahan mereka ke Sabah dan Sarawak kerana jawatan itu adalah jawatan tetap," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan akan mencari mekanisme untuk mempertahankan pegawai perubatan daripada berhijrah ke luar negara termasuk dengan menambah baik aspek kebajikan.
Lukanisman berkata kementeriannya akan memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik dapat dinikmati doktor tempatan memandangkan negara kini menjadi sasaran hospital dan syarikat perubatan dari Singapura yang menawarkan gaji lumayan.
"Walaupun kerajaan belum mampu menawarkan gaji setimpal seperti negara luar, namun kita sedang menambah baik sistem supaya sekurang-kurangnya dapat memberi keseimbangan yang lebih baik antara kerja dan kehidupan. Isu-isu seperti 'on-call', kelelahan pegawai perubatan serta masalah buli di hospital sedang dibincangkan kerana ia bukan perkara yang boleh kita selesaikan hanya melalui kempen," katanya.
Beberapa media tempatan pada 9 Julai lepas melaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami