PUTRAJAYA: Hospital seluruh negara akan mula menggunakan ubat Baricitinib untuk rawatan kepada pesakit COVID-19 terutama pesakit kategori empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mendapat peruntukan baharu untuk rawatan menggunakan Baricitinib yang dilihat berkesan digunakan bersama Dexamethasone.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat Baricitinib yang mempunyai kesan lebih baik diharap memberi harapan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kepada pesakit COVID-19 sekali gus mengurangkan kadar kematian.

"Kami harap dengan keberkesanan yang tinggi dan rawatan lebih baik pesakit boleh pulih daripada kategori lima ke empat dan seterusnya," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Kes kategori tiga ialah pesakit mempunyai radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori empat mempunyai radang paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

BACA: COVID-19: Kes harian melonjak 15,573 kes, Selangor catat kes lebih 7,000 kes

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ketika ini terdapat seramai 826 pesakit kategori lima berada di hospital di Lembah Klang untuk tempoh 21 hari, manakala bagi kategori empat, sebanyak 3,473 orang kini menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata sebanyak RM38 juta akan dibelanjakan untuk pembelian ubat-ubatan khususnya Baricitinib dan pihaknya tidak akan melengahkan pemberian perolehan darurat untuk menguruskan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bertindak Khas 'Greater Klang Valley' Datuk Dr Chong Chee Keong berkata KKM setuju untuk membina loji oksigen mikro dan 1,000 tangki oksigen pelbagai saiz di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi meningkatkan kapasiti sekiranya timbul keperluan.

Beliau berkata antara langkah yang diambil untuk memenuhi peningkatan kes ialah penambahan kapasiti pesakit kategori tiga di MAEPS yang secara purata 600 kemasukan sehari dari Pusat Penilaian COVID (CAC) untuk mengurangkan kes tertangguh di Lembah Klang.

-- BERNAMA