KUALA LUMPUR : Seramai 700 individu dikenal pasti menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 di Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 603 pelajar, guru (59) dan kakitangan sekolah (38).

“Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia.

“Kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan pula dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, KKM turut mengambil langkah pencegahan dengan mengarahkan sekolah berkenaan ditutup sementara.

Arahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

Tambah Dr Noor Hisham, KKM juga telah mengadakan taklimat serta penerangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

Setakat ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah menjalankan saringan terhadap 973 individu dan telah mengesan 135 kes baharu positif COVID-19 dalam kalangan warga sekolah berkenaan.

Jumlah itu menjadikan angka keseluruhan kes di sekolah tersebut sebanyak 143 kes.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengesahkan 65 pelajar SSP dikesan positif COVID-19 selepas seorang guru disahkan dijangkiti virus itu.