MALAYSIA
KKM lancar Op Selamat Papa 1 Ogos ini - Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat Papa) bermula pada 1 Ogos ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya membabitkan rokok elektronik atau vape.
Ringkasan AI
- KKM lancar Ops Selamat Paru-Paru (Op Selamat Papa) bermula 1 Ogos untuk memperkukuh penguatkuasaan Akta 852, khususnya terhadap rokok elektronik dan vape.
- KKM teliti pengharaman sistem terbuka vape, susulan 70% daripada 58 siasatan hingga Jun 2025 mengesan bahan terlarang seperti methamphetamine dan synthetic cannabinoids.
- Pengharaman penuh vape sedang dikaji, melibatkan pertimbangan bukti saintifik, kesihatan awam, aspek perundangan dan impak ekonomi sebelum sebarang cadangan baharu dilaksanakan.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung pendirian kementerian terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape dalam negeri masing-masing.
Dzulkefly berkata KKM mengalu-alukan dan menyokong pendirian enam kerajaan negeri yang mengambil sikap untuk tidak memperbaharu lesen penjualan rokok elektronik atau vape kepada premis-premis untuk menjual vape.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai isu dadah dalam vape, beliau berkata kementerian sedang meneliti pengharaman segera terhadap penggunaan sistem terbuka yang membolehkan cecair vape diubah suai atau dicemari dengan bahan terlarang.
"Bagi tempoh hingga Jun 2025, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan hampir 70 peratus daripadanya didapati positif bahan-bahan terlarang dalam vape (antaranya) methamphetamine dan synthetic cannabinoids," katanya.
Pada sidang media selepas itu, Dzulkefly berkata KKM sedang meneliti secara terperinci langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.
"Akta 852 ialah akta kawal selia dan tidak menyentuh soal pengharaman, jika pengharaman mahu dilaksanakan, ia perlu berdasarkan cadangan baharu," katanya.
Beliau berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami