Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan kononnya kit RTK Antigen yang ditempah dari Korea Selatan telah kehabisan stok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit tersebut telah dihantar ke negeri-negeri selain mempunyai baki stok 50,000 unit lagi.

“Sebelum ini kita tempah 200,000 unit. Kita masih ada stok 50,000. Setakat yang kita guna sekarang ini adalah 8,000 sahaja.

“Jadi banyak lagi stok yang kita ada. Kita telah agih-agihkan kepada negeri dan klinik-klinik.

“Untuk stok KKM, kita ada 50,000 unit lagi. Jadi, jika perlu kita akan tambahkan perolehan untuk dapatkan RTK Antigen ini.

BACA: COVID-19: Kembali tiga digit, 270 kes baharu adalah PATI

“Namun, kita perlu gunakan dahulu yang 190,000 unit ini. Kalau kita tak guna, kemudian kita tempah lagi, mungkin akan jadi lambakan RTK Antigen itu,” katanya pada sidang media harian di sini pada Khamis.

Justeru, beliau menggalakkan warga KKM untuk menggunakan RTK Antigen seperti di klinik, depot tahanan dan sebagainya.