SIBU: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) dan konjunktivitis di Sarawak susulan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pemantauan berterusan dilaksanakan menerusi fasiliti kesihatan termasuk hospital bagi memastikan sebarang peningkatan kes berkaitan jerebu dapat ditangani dengan segera.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri, purata kes URTI meningkat daripada 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 sejak kebelakangan ini manakala kes konjunktivitis pula menyaksikan peningkatan daripada purata 17 kepada 21 kes seminggu, dan aktiviti asma secara keseluruhan kekal stabil.
“KKM sentiasa memantau situasi semasa termasuk trend kedatangan pesakit ke fasiliti kesihatan dan kita mahu memastikan fasiliti serta petugas kesihatan berada dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku peningkatan kes akibat jerebu,” katanya.
Hanifah berkata demikian kepada pemberita semasa melawat Klinik Kesihatan Jalan Oya di sini hari ini sempena Jelajah Kesihatan Borneo Siri 4, yang turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan KKM dalam menangani situasi kesihatan berkaitan jerebu.
Beliau berkata orang ramai khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu mengambil langkah berjaga-jaga ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
-- BERNAMA