Skip to main content

Malaysia

KKM rasmi Pusat Pakar Pergigian Sabah, percepat akses rawatan pakar untuk hampir 4 juta penduduk Malaysia Timur

KKM rasmi Pusat Pakar Pergigian Sabah
Dr Dzulkefly (duduk, tengah) bergambar bersama pegawai tertinggi KKM, barisan pengurusan dan pegawai-pegawai pada majlis perasmian Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS) di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu merasmikan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS), pusat rujukan kepakaran pergigian pertama di Zon Malaysia Timur yang beroperasi secara berpusat di luar persekitaran hospital.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembangunan fasiliti bernilai RM32.76 juta itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses kepada rawatan kepakaran pergigian yang lebih saksama dan berkualiti kepada rakyat, khususnya di Sabah, utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, kesihatan pergigian memainkan peranan penting dalam kesejahteraan individu kerana masalah seperti penyakit gusi dan kehilangan gigi boleh menjejaskan pemakanan, pertuturan, keyakinan diri serta produktiviti harian.

Berdasarkan Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA) 2020, antara 10 hingga 14 peratus penduduk dewasa di negara ini memerlukan rawatan periodontal kompleks dan rehabilitasi prostesis, sekali gus meningkatkan keperluan kepada perkhidmatan kepakaran yang lebih menyeluruh.

PPPS menghimpunkan empat bidang kepakaran pergigian bukan berasaskan hospital di bawah satu bumbung, iaitu Ortodontik, Periodontik, Pergigian Restoratif dan Kesihatan Awam Pergigian.

Fasiliti itu dilengkapi 18 bilik rawatan serta 18 kerusi pergigian bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rawatan kepakaran di rantau berkenaan.

Sejak mula beroperasi pada 5 Januari lalu, pusat itu merekodkan peningkatan ketara kehadiran pesakit bulanan hampir 100 peratus, daripada 615 pesakit pada Januari kepada 1,229 pesakit pada Ogos 2026.

Sehingga 31 Ogos lalu, lebih 8,500 kehadiran pesakit direkodkan, mencerminkan peningkatan kepercayaan masyarakat terhadap kemudahan baharu yang disediakan kerajaan.

KKM turut memaklumkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan pakar berjaya dikurangkan sebanyak 50 peratus, daripada tiga tahun kepada satu setengah tahun, sekali gus mempercepat akses pesakit kepada rawatan yang diperlukan.

PPPS kini berfungsi sebagai pusat rujukan kepakaran pergigian bagi Sabah, utara Sarawak dan Labuan yang meliputi kira-kira 3.95 juta penduduk menerusi sistem rujukan yang lebih tersusun dan bersepadu.

Dalam memperkukuh pendigitalan perkhidmatan, pusat berkenaan dilengkapi teknologi percetakan tiga dimensi (3D) bagi menyokong perancangan rawatan serta pembuatan prostesis pergigian, selain penggunaan mikroskop pergigian untuk pengurusan kes endodontik kompleks.

Kemudahan itu juga memiliki unit radiologi dengan mesin x-ray Orthopantomagram (OPG), manakala sistem rekod elektronik menerusi Dental Information System (DIS): Clinical dijangka mula beroperasi pada tahun 2027.

Bagi memastikan pembangunan perkhidmatan berjalan seiring dengan pembangunan tenaga kerja, PPPS menyediakan Makmal Kemahiran (Skill Lab) untuk latihan klinikal berterusan, simulasi dan peningkatan kompetensi warga pergigian.

KKM menyasarkan PPPS berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan Kepakaran Pergigian Zon Malaysia Timur yang menggabungkan perkhidmatan klinikal berkualiti, latihan profesional, penyelidikan, inovasi serta kerjasama strategik.

Dalam masa sama, kementerian itu akan terus memperluas akses kepada perkhidmatan pergigian asas melalui program jangkauan luar, termasuk penambahan tiga Klinik Pergigian Bergerak baharu yang dijangka diterima pada penghujung tahun ini bagi daerah Penampang, Kudat dan Keningau.

Menurut KKM, penubuhan PPPS membuktikan iltizam kerajaan untuk memastikan rakyat di Malaysia Timur menerima perkhidmatan kepakaran pergigian yang berkualiti, mudah diakses dan berteraskan nilai ihsan.

Hadir sama pada majlis perasmian PPPS ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr Fauziah Ahmad; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pergigian), Dr. Thaddius Herman anak Maling dan Pengarah Pusat Pakar Pergigian Sabah, Dr. Muhammad Hamidie Sa’ari.

Must Watch Video

Advertisement